Jadi Suami, Redza Rosli Jaga Batas Lakonan... Enggan Berlebihan Tayang Kebahagiaan, Takut Orang Meluat



Memegang status sebagai suami, pelakon Redza Rosli kini lebih berhati-hati dalam pergaulan dengan rakan wanita untuk mengelak salah faham yang boleh mengganggu hubungannya dengan isteri tercinta.


Bella Hanna, isteri Redza, memahami kerjayanya sebagai pelakon. Namun, Redza, atau nama penuhnya Ahmad Redza Rosli, 32, mengutamakan perasaan isteri dalam setiap tindakan.


"Bella menerima segala kekurangan dan memahami kerja saya sebagai pelakon. Jadi, saya sendiri kena tahu batas dalam lakonan seperti yang saya lakukan sebelum ini.


"Jika ada babak yang tidak bersesuaian, saya akan bincang dengan pengarah. Kalau rasa tak perlu buat, saya tak buat," katanya kepada kami.


Pada Jumaat lalu, Redza sah bergelar suami kepada Bella, atau Farhana Nabila Rosman, 28, dengan sekali lafaz di Forest Valley, Cheras, Selangor.


Walaupun sudah sah bergelar suami isteri, Redza memilih untuk tidak terlalu menunjukkan kebahagiaan mereka di media sosial. Dia bimbang jika kemesraan berlebihan akan menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.


"Saya tak pernah tunjuk kehidupan peribadi di media sosial. Saya hanya guna untuk promosikan drama lakonan saya.


"Kalau berkongsi hal rumah tangga selalu, nanti ada yang meluat. Bagi saya, kebahagiaan itu janganlah ditunjuk lebih-lebih. Biarlah simpan sendiri sebab akhirnya, masalah yang dihadapi bukan orang lain yang selesaikan," jelasnya.


Dalam perkembangan lain, Redza bakal muncul dengan drama adaptasi novel, "Dedaun Hijau Di Angin Lalu" di saluran Astro Ria bermula 1 Julai depan. Drama itu menampilkan Redza sebagai watak utama yang digandingkan bersama pelakon Harissa Adlynn.


Jom Kongsi!

Jika anda suka cerita ini, jangan lupa untuk kongsikan dengan kawan-kawan anda! Tekan butang share dan sebarkan kisah inspirasi ini. Terima kasih!

Previous Post Next Post

Contact Form