Radhi OAG Tolak Bayar RM300,000 Kepada Bekas Isteri, Pilih Perbicaraan Mahkamah


Penyanyi terkenal Radhi OAG atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 47, baru-baru ini menolak untuk membayar pampasan sebanyak RM300,000 kepada bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri, sebagai penyelesaian luar mahkamah berhubung kes pukul.


Menurut Radhi, jumlah yang diminta oleh bekas isterinya itu terlalu tinggi dan beliau lebih memilih untuk meneruskan kes tersebut di mahkamah.


“RM300,000 itu bagi saya sangat banyak. Jadi saya pilih selesaikan kes itu menerusi perbicaraan di mahkamah apatah lagi tuduhan terhadap saya sangat berat. Kalau betul saya buat (pukul), saya mengaku. Tapi masalahnya saya tak buat. Jadi teruskan dengan prosedur mahkamah,” katanya kepada kami.


Radhi ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya pada Selasa.


Radhi turut menzahirkan harapan agar bekas isterinya menarik semula kes tersebut dan memberi peluang untuk masing-masing meneruskan kehidupan dengan cara yang lebih baik.


“Harapan saya mahu selesaikan cara baik. Sepatutnya sebelum ini dia tarik balik kes tapi dia minta saya bayar. Bagi saya itu bukan jalannya. Saya tak setuju dan hari ini kita teruskan dengan perbicaraan,” jelasnya.


Untuk makluman, pada Julai 2023, Shahira memaklumkan tidak akan menarik semula laporan polis berhubung kes berkenaan atas beberapa faktor.


Radhi didakwa dengan sengaja mencederakan bekas isterinya dalam kejadian pada 19 April 2022 kira-kira pukul 2.29 petang di Kota Damansara, Selangor. Penyanyi itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Radhi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.


Pasangan ini berkahwin pada 14 April 2014 namun bercerai pada 16 Julai 2019 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Aisyah, 8, dan Muhammad, 7 tahun.


Jangan Lupa Kongsi!

Jika anda rasa artikel ini menarik, jangan lupa untuk kongsikan dengan rakan-rakan anda! Semakin ramai yang tahu, semakin kita semua dapat memahami lebih lanjut tentang isu ini. Tekan butang 'Share' dan sebarkan cerita ini sekarang!

Previous Post Next Post

Contact Form