Sudah lapan tahun hidup tanpa suami, pelakon terkenal Marissa Yasmin tidak pernah menutup pintu hatinya untuk mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya. Walaupun telah mencuba mengenali beberapa lelaki, hubungan tersebut tidak kekal kerana kurangnya keserasian.
"Awal-awal bercerai dulu memang serik, tapi ramai pula bagi nasihat tentang lelaki yang macam mana patut saya cari... Tapi kita tak akan betul-betul kenal seseorang itu selagi tak berkahwin dengan mereka," kata Marissa atau nama sebenarnya Marissa Yasmin Mariam Yaakob, 47.
Tambahnya lagi, "Kalau ada rezeki dan jodoh sudah sampai, kenapa tidak? Saya ada jumpa beberapa lelaki tetapi kebanyakannya 'red flag'. Bila dapat jumpa lelaki sebegitu, saya trauma sebab bukan mudah nak lalui fasa kehidupan yang rumit (bercerai), tapi saya masih tidak berputus asa."
Jika bertemu dengan calon sesuai, Marissa tidak mahu 'berkawan' terlalu lama apatah lagi usianya semakin meningkat. "Saya bukannya muda lagi, kalau nak berkawan lama-lama tu memang tak! Bagi saya kalau dah berkawan dan tak serasi saya memang tak akan teruskan. Nak bergaduh atau terbawa-bawa dengan perasaan pun sudah tak perlu sebab dah tua. Buat pening kepala saja," jelasnya.
Untuk rekod, Marissa pernah mendirikan rumah tangga dengan Muhriz Mohd Zainuddin pada 2010 namun jodoh mereka berakhir dengan penceraian enam tahun kemudian. Pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata.
Dalam perkembangan lain, Marissa bakal tampil dengan drama berjudul X-Change yang akan disiarkan di Astro Ria dan platform penstriman Astro Go serta Sooka bermula 12 Julai ini. Selain Marissa, pelakon lain yang membintangi drama tersebut termasuk Rosyam Nor, Arfie Shah, Hariz Hamdan, Farah Ahmad, Joey Leong, dan Sadiq Jamil.
Jangan lupa untuk tonton drama X-Change dan kongsikan artikel ini dengan kawan-kawan anda supaya mereka juga tidak terlepas berita menarik ini!