Kehilangan yang amat mendalam. Pelakon veteran Nona Asiah, atau lebih dikenali sebagai Asiah Aman, telah meninggal dunia pada usia 94 tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Changi (CGH), Singapura, sekitar pukul 4.25 pagi pada hari Selasa.
Berita sedih ini dikongsi oleh anak bongsunya, Indra Shahrir Ismial, seorang pemuzik terkenal dari Singapura. Menurut Indra, ibunya telah dirawat di hospital sejak dua bulan lalu kerana komplikasi kesihatan melibatkan buah pinggang, paru-paru, dan jantung. Selain itu, Asiah juga menghidap penyakit demensia.
Indra memaklumkan dengan penuh rasa sebak bahawa dia merupakan satu-satunya anak yang berada di sisi ibunya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir. Jenazah Allahyarham kini berada di kediamannya dan dijangka akan dikebumikan pada pagi Rabu selepas ahli keluarga terdekat pulang dari Gold Coast, Australia.
Asiah memulakan kerjaya seni di Singapura menerusi filem keluaran Shaw Brothers dan Cathay Keris Malay Films. Pada zaman kegemilangannya dalam tahun 1950-an hingga 1960-an, Asiah merupakan salah seorang biduanita terkemuka di rantau Nusantara. Lagu-lagu nyanyiannya seperti Cempaka Biru, Jikalau Abang Merindu, Hasan dan Hasnah, serta Ingin Tahu masih segar dalam ingatan ramai.
Selain terkenal dengan bakat seni, Asiah juga seorang pereka fesyen berbakat. Rekaannya melalui jenama ‘Seniati’ telah memikat hati ramai, termasuk primadona Melayu seperti Saloma, Kartina Dahari, dan Siput Sarawak.
Jasa dan sumbangan Nona Asiah dalam dunia seni dan fesyen akan sentiasa dikenang. Marilah kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Jangan lupa kongsi artikel ini dengan rakan-rakan anda agar mereka juga dapat mengenang jasa dan legasi pelakon lagenda ini.