Percutian Sharifah Zarina dan keluarga di Pulau Pinang bertukar cemas apabila suaminya, Buswani Abdillah, terpaksa dikejarkan ke hospital selepas menikmati durian. Baca kisah penuh mereka di sini dan jangan lupa kongsikan dengan kawan-kawan anda!
Kegembiraan bercuti bersama keluarga bertukar tragedi apabila suami penyanyi Sharifah Zarina terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital di Pulau Pinang selepas menikmati buah durian pada Ahad lalu.
Zarina, atau nama penuhnya Sharifah Zarina Wan Hassan, 42, mula sedar ada sesuatu yang tidak kena apabila suaminya, Buswani Abdillah, mengerang kesakitan selain wajahnya bertukar pucat selepas makan buah durian tersebut.
Bagaimanapun, Zarina merasa lega apabila doktor mengesahkan bahawa keadaan suaminya berpunca daripada gas durian yang berlebihan di dalam perutnya.
"Kami makan durian di sebuah ladang di Pulau Pinang. Suami saya mengadu sakit perut sehingga keluar masuk tandas. Saya mula risau melihat dia mengerang kesakitan sambil tunduk dengan muka yang pucat. Jadi saya terus bawa dia ke hospital berdekatan," kata Zarina ketika dihubungi kami pada Isnin.
Zarina sebelum itu berkongsi video di Instagram miliknya yang menunjukkan dia sedang menemani suaminya yang terbaring di katil hospital.
Berkongsi mengenai keadaan terkini suaminya, Zarina berkata Buswani semakin pulih selepas mendapatkan rawatan. Malah, mereka sekeluarga sudah pulang ke Kuala Lumpur selepas tiga jam suaminya dirawat di hospital.
"Doktor beritahu keadaan dia tak teruk pun. Selepas diberi suntikan, keadaannya kembali pulih. Rawatan pun hanya mengambil masa dua hingga tiga jam sahaja dan kami terus bergerak pulang ke Kuala Lumpur selepas itu. Sekarang dia semakin pulih berbanding keadaannya semalam," ujarnya.
Zarina tidak menyangka kejadian tersebut bakal berlaku memandangkan mereka sekeluarga hanya menikmati tiga biji durian. Apa yang menimbulkan kemusykilan, suaminya tidak pernah berdepan sebarang masalah kesihatan meskipun makan durian dalam kuantiti banyak sebelum ini.
"Padahal kami makan sikit saja, dalam tiga biji sahaja. Saya dan anak-anak okey saja. Mungkin durian di sana lebih kuat berbanding tempat lain. Peliknya, sebelum ini pun dia tak pernah macam ini. Padahal dia makan sebelum ini lagi banyak dari semalam, tapi tak tahu kenapa kali ini boleh jadi macam ini," ujarnya.
Jangan lupa kongsikan artikel ini dengan kawan-kawan anda! Mungkin mereka juga boleh ambil iktibar daripada pengalaman Sharifah Zarina dan suaminya.