Penyanyi tersohor, Noraniza Idris, baru-baru ini berdepan dengan kekeliruan netizen apabila poster Konsert Qalam disamakan dengan sambutan Tahun Baru Cina. Namun, Noraniza, 55, dengan tenang menjelaskan bahawa poster tersebut diinspirasikan daripada budaya Melaka, khususnya pakaian tradisi yang dipakai sebagai tanda hormat kepada warisan negeri tersebut. Apatah lagi, konsert tersebut bakal berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka.
"Melaka kan! Orang Melaka pakai sanggul lintang, tak tahu ke? Melaka ada budaya mereka sendiri... Jadi, kita masuk ke Melaka kita praktikkan budaya mereka. Bukan Tahun Baru Cina, faham tak?" kata Noraniza dalam sesi siaran langsung di TikTok.
Noraniza turut berkongsi bahawa Melaka mempunyai pengaruh budaya yang besar dari negeri China dan menyeru orang ramai untuk mengkaji sejarah asal usul negeri tersebut. "Tangan saya itu bukan genggaman orang Cina, saya pegang keris. Tengok betul-betul poster akak, memang nampak macam Cina sebab Melaka kan mempunyai pengaruh budaya Cina yang besar. Contohnya, Dondang Sayang, Baba Nyonya. Kalau lihat bangunan di Melaka, semuanya mempunyai pengaruh yang sama. Peminat harus faham dan kaji dari segi sejarah mereka," jelasnya lagi.
Konsert Qalam mengetengahkan konsep 'konsep dalam pertandingan' yang menghimpunkan kumpulan tarian etnik yang layak ke peringkat kebangsaan untuk mengiringi persembahan Noraniza. Menariknya, koreografi bagi setiap persembahan selama tiga hari konsert tersebut adalah berbeza dan akan diadili oleh para juri.
Konsert ini dianjurkan oleh Tatih Seni Academy dengan sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dan akan diadakan selama tiga hari pada 27 hingga 29 September depan. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan hebat ini!
Jom kongsi artikel ini dengan kawan-kawan anda dan sama-sama kita sokong budaya tempatan!