Sadiq Jamil tak guna ‘kabel’ keluarga, Sarimah mengeluh cucu nekad jadi pelakon



Bergelar cucu kepada Seniwati Datuk Sarimah Ahmad bukanlah tiket mudah untuk Sadiq Jamil menceburi dunia seni lakonan. Sebaliknya, Sadiq, 26, menegaskan bahawa dia tidak pernah menggunakan nama Sarimah untuk mendapatkan tawaran lakonan. Baginya, usaha dan bakat sendiri adalah keutamaannya.


"Saya rasa bertuah dilahirkan dalam keluarga berdarah seni, mereka sangat memberi sokongan tapi saya nak berdiri atas bakat saya sendiri. Untuk sampai ke tahap ini bukan perkara mudah, saya tak pernah pergi sesi uji bakat guna nama nenek. Saya nak ‘jual’ diri saya bukan keluarga. Bila di set penggambaran, saya nak mereka (produksi) kenal siapa saya," kata Sadiq kepada kami.


Sadiq berkongsi cerita ini semasa ditemui pada tayangan perdana drama bersiri X-Change di TGV Sunway Velocity. Dia juga mendedahkan bahawa neneknya, Sarimah, sebenarnya tidak menggalakkan dia menceburi dunia seni. Malah, neneknya itu mengeluh apabila dia diterima masuk ke sekolah seni, walaupun Sarimah adalah idolanya.


"Minat terhadap lakonan wujud sejak kecil lagi. Saya masih ingat ketika darjah satu cikgu tanya nak jadi apa, saya jawab mahu bergelar pelakon. Menonton filem lakonan nenek di televisyen sentiasa membuatkan saya terinspirasi dengannya walaupun nenek tak galakkan. Masa mula-mula masuk sekolah seni dulu pun nenek mengeluh sebab seorang lagi keturunannya bergelar anak seni," jelas Sadiq.


Sadiq merupakan anak kepada pengarah M. Jamil dan pelakon Siti Rohani Wahid. Kini, dia antara pelakon yang membintangi drama bersiri X-Change yang akan ditayangkan di Astro Ria serta platform penstriman Astro Go dan Sooka bermula 12 Julai ini. Selain Sadiq, pelakon lain yang membintangi drama ini termasuk Datuk Rosyam Nor, Arfie Shah, Hariz Hamdan, Marissa Yasmin, Joey Leong, dan Farah Ahmad.


Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini dengan kawan-kawan anda!

Previous Post Next Post

Contact Form