TIBA-TIBA menyepi selepas mendirikan rumah tangga dua tahun lalu, penyanyi Shahir menjelaskan dia tidak menghilangkan diri sebaliknya masih aktif dalam dunia seni.
Shahir atau Ahmad Shahir Zawawi, 36, berkata, sepanjang tempoh 'kehilangannya' itu dia masih menerima banyak undangan pentas namun tidak berkongsi perkembangan karier di media sosial.
Jelasnya, Instagram miliknya digodam membuatkan ada menyangka dia sudah meninggalkan dunia hiburan.
"Instagram saya kena godam dan itu satu-satunya platform yang saya aktif. Jadi bila tiada tempat nak kongsi, ramai tidak tahu perkembangan saya.
"Saya masih aktif menyanyi seperti biasa. Jika ada undangan saya akan hadir cuma tak pernah muat naik di mana-mana platform media sosial," katanya ketika dihubungi kami pada Khamis.
Dalam pada itu, Shahir memberitahu dia sudah pun mempunyai akaun media sosial baharu di Instagram dan TikTok yang dibuka sejak Rabu.
Jelasnya, dia mengambil masa agak lama untuk kembali aktif di media sosial kerana beberapa kejadian menimpanya sebelum ini memberi kesan besar terhadap dirinya.
"Kejadian IG kena godam berlaku selepas saya kahwin, jadi banyak kenangan yang disimpan dalam akaun hilang begitu sahaja.
"Sebab itu saya rasa sangat down... Tambahan pula ketika itu saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat pengurusan, jadi tak terfikir untuk kembali aktif di media sosial," jelasnya.
Pun begitu kata Shahir, dia tidak menyangka kemunculan semulanya di platform media sosial mendapat respon baik ramai peminat.
Malah ramai meninggalkan kata-kata positif dan mendoakan agar kariernya kembali bersinar seperti sebelum ini.
"Apabila muncul semula banyak juga komen-komen positif. Saya tak sangka ramai yang tahu saya kembali aktif di media sosial.
"Maklumlah sudah lama tak aktif, jadi saya tak tahu sangat bagaimana media sosial ini berfungsi," ujarnya.
Bercakap tentang perkembangan terbaharu, Shahir memberitahu dia kini bernaung di bawah sebuah syarikat pengurusan dan bakal tampil dengan lagu baharu dalam masa terdekat.
Malah dia kini sedang dalam proses menurunkan berat badan selepas mengalami kecederaan pada bahagian lutut akibat terjatuh ketika bermain badminton awal tahun lalu.
"Saya kurang bersenam selepas mengalami kecederaan. Jadi berat badan naik dan sekarang apabila mahu tampil dengan lagu baru kenalah jaga dan turunkan sikit berat badan.
"Ada beberapa lagu yang telah disiapkan untuk saya. Sekarang dalam proses pemilihan karya mana terbaik supaya ia menjadi seperti single pertama dahulu," jelasnya.