Shuib Dedah Pengalaman Ketagih Judi: Insiden Dikepung Gangster Buatnya Insaf


Siapa sangka, pelawak terkenal Shuib atau Shahmira Muhamad pernah terjerat dalam dunia perjudian yang gelap? Dalam sesi podcast Dol’s Podcast yang dikendalikan bersama rakan pelawaknya, Shuk Sahar dan Fizie, Shuib mendedahkan bahawa dia pernah mengalami ketagihan judi yang sangat serius suatu ketika dahulu.


Kisahnya bermula ketika Shuib dan Shuk berada di Ipoh pada tahun 2013 untuk penggambaran sebuah filem. Shuib menceritakan bahawa dia pernah memenangi RM68,000 dalam satu sesi perjudian. Namun, kegembiraan itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila pemilik kedai judi tersebut memanggil beberapa orang gangster untuk mengepungnya.


"Masa itu aku menang sebanyak RM68,000. Tapi tuan kedai tak nak bagi aku duit itu, dia anggap aku menipu. Dia siap hubungi beberapa orang gangster datang ke kedai, ada dalam enam orang masa itu. Sampai saja mereka terus panggil ke bilik belakang dan tanya macam-macam perkara," kata Shuib.


Menghadapi situasi yang tegang itu, Shuib mengambil keputusan untuk meninggalkan duit kemenangannya dan bertekad untuk berhenti berjudi. Keputusan ini, katanya, adalah kali terakhir dia berjudi.


"Lillahitaala, aku cakap pada diri aku ini adalah kali terakhir aku main judi dan memang aku dah tak main dah lepas itu," ujarnya dengan tegas.


Menurut Shuib, ketagihan judinya telah mengakibatkan kerugian puluhan ribu ringgit. Dia pernah bertaruh sehingga RM150 setiap pusingan, dengan setiap permainan boleh dimainkan tiga atau empat kali dalam seminit. Jumlah wang yang dihabiskan dalam satu minit boleh mencapai ratusan ringgit, menyebabkan Shuib kehilangan banyak wang sehingga dia tidak lagi mampu.


Namun, Shuib bersyukur apabila insiden itu menyedarkannya untuk meninggalkan perbuatan berdosa tersebut. Setelah berhenti berjudi, hidupnya menjadi lebih tenang dan dia mula mempunyai simpanan wang yang lebih banyak.


"Perbezaan dia Masha-Allah, Allah nak bagi... Kadang-kadang kau rasa kau berjudi tu kau puas, bila kau menang kau gempak. Tapi kehidupan kau masih susah. Bila aku berhenti, duit bukan kata boleh simpan, malah makin banyak," ujarnya dengan penuh syukur.


Kisah Shuib ini adalah satu peringatan penting bahawa perjudian adalah haram di sisi agama Islam dan hanya membawa kesengsaraan. Mari kita jadikan pengalaman Shuib ini sebagai iktibar dan hindari daripada terlibat dalam aktiviti perjudian yang memudaratkan.


Jangan lupa kongsikan artikel ini dengan kawan-kawan anda supaya mereka juga dapat mengambil pengajaran daripada kisah ini!

Previous Post Next Post

Contact Form