Dalam dunia digital yang semakin berkembang, platform podcast menjadi pilihan ramai untuk berkongsi pendapat dan idea. Namun, pelakon dan penyampai podcast, Amelia Henderson, menekankan betapa pentingnya tanggungjawab dalam setiap perkongsian yang dibuat. Amelia, atau lebih dikenali sebagai Amelia Thripura Henderson, menyuarakan pandangannya tentang perlunya berhati-hati dalam memilih topik yang dibincangkan di podcast.
Menurut Amelia, podcast merupakan medium yang hebat untuk bertukar pendapat, tetapi penyedia kandungan haruslah bijak dan bertanggungjawab atas apa yang disampaikan.
"Saya rasa podcast ini adalah satu medium yang sangat berguna untuk kita berkongsi pendapat, tapi kita sendiri kena bertanggungjawablah atas pendapat tersebut. Kita kena bertanggungjawab dengan apa yang kita cakap tidak kisahlah sama ada di hadapan kamera atau tidak," katanya kepada kami.
Amelia juga berkongsi bagaimana dia sentiasa memastikan persetujuan tetamu undangannya sebelum menyiarkan kandungan di saluran podcast miliknya, Sembang Studio. Meskipun dibantu oleh pasukan produksi yang hebat, Amelia tetap meneliti setiap kandungan untuk mengelakkan isu sensitif dan menghormati perasaan tetamu.
"Bila buat kerja penyuntingan juga, saya akan memastikan untuk tanya dahulu kepada tetamu dan sekiranya mereka benarkan barulah kami akan siarkan. Saya sentiasa berjaga-jaga, kadang-kadang saya tapis lebih banyak daripada apa yang diizinkan oleh tetamu sendiri," tambahnya.
Selain itu, Amelia berpendapat bahawa kontroversi bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia hiburan. Sama ada melalui podcast atau media sosial, isu kontroversi sering kali timbul dan ia bukan semata-mata disebabkan oleh platform digital.
"Cerita kontroversi ini telah wujud dari zaman dulu sebelum zaman digital lagi. Kalau penonton masih menonton content itu, maksudnya teknik pemasaran yang dibuat berjaya atau mungkin itu memang realiti yang ingin dipaparkan," kata Amelia.
Artikel ini bukan sekadar pandangan Amelia, tetapi juga peringatan kepada semua penyedia kandungan untuk lebih bertanggungjawab dalam setiap perkongsian mereka. Jadi, kalau anda rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa kongsikan dengan kawan-kawan anda! Kongsi dan sebarkan, agar lebih ramai sedar akan pentingnya tanggungjawab dalam dunia digital.