Nampaknya dunia K-Pop sekali lagi digemparkan dengan berita panas apabila Taeil, salah seorang ahli kumpulan terkenal NCT, telah disingkirkan dari kumpulan itu akibat terpalit dengan dakwaan jenayah seksual yang serius.
SM Entertainment, agensi yang menaungi NCT, telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini. Menurut mereka, Taeil yang berusia 30 tahun, telah diberitahu mengenai keputusan ini dan tidak lagi dibenarkan meneruskan aktiviti bersama kumpulan tersebut.
"Kami sedar bahawa tuduhan terhadap Taeil adalah berat dan selepas perbincangan mendalam, kami memutuskan bahawa dia tidak lagi boleh menjadi sebahagian daripada NCT," kata wakil SM Entertainment.
Dalam kenyataan tersebut, agensi itu juga menambah bahawa Taeil bersedia memberi kerjasama penuh dengan pihak polis untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan. Mereka juga memohon maaf kepada para peminat atas kontroversi yang mencemari nama baik kumpulan dan agensi.
“Kami faham bahawa isu ini amat mengejutkan dan mengguris hati ramai peminat. Buat masa ini, Taeil akan bekerjasama dengan polis dan kami akan mengeluarkan kenyataan tambahan jika diperlukan. Kami dengan rendah diri memohon maaf atas apa yang telah berlaku,” tambah mereka lagi.
Taeil memulakan kerjayanya dengan NCT pada tahun 2016, di mana kumpulan ini berjaya mencipta fenomena dengan lebih dua dozen ahli yang dibahagikan kepada beberapa subunit termasuk NCT 127, NCT Dream, dan NCT U.
Berita ini pastinya mengejutkan ramai peminat yang selama ini menyokong Taeil dan NCT. Apapun, marilah kita sama-sama menantikan perkembangan selanjutnya dari siasatan yang sedang berjalan.
Suka artikel ini? Jangan lupa kongsikan dengan kawan-kawan anda di media sosial!