Satu rakaman CCTV yang diperoleh berhampiran Jambatan Kota di Klang menunjukkan kelibat penyanyi Allahyarham Nidza Afham beberapa saat sebelum mayatnya ditemui di Sungai Klang pada hari Khamis. Namun, rakaman tersebut tidak mendedahkan detik-detik sebenar yang membawa kepada kematiannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, menyatakan bahawa rakaman CCTV itu hanya menunjukkan arwah sedang berjalan bersendirian menuju ke arah jambatan, tetapi tidak merakam momen terakhir yang menimbulkan tanda tanya besar mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
Pada hari Jumaat, Hussein melakukan tinjauan ke lokasi di mana mayat Nidza ditemukan selepas 24 jam dilaporkan hilang. Siasatan ini, menurut beliau, turut merangkumi aspek kesihatan mental Nidza, sama ada arwah pernah menghadapi sebarang masalah mental sebelum ini atau mendapatkan rawatan.
Selain itu, lapan individu telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. Mungkinkah ada unsur jenayah, masalah peribadi, atau gangguan mental yang terlibat dalam kes ini? Itu semua masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Allahyarham Nidza, atau nama sebenarnya Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, dilaporkan hilang pada malam Selasa selepas keluar untuk beriadah di Stadium Sultan Suleiman, Klang. Kehilangannya menjadi lebih misteri apabila telefon bimbit dan dompetnya ditemukan oleh ibunya di Sungai Klang, lokasi terakhir dia dikesan.
Jenazah Nidza telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah, Shah Alam pada petang Khamis. Kehilangan Nidza meninggalkan banyak persoalan yang belum terjawab.
Jika anda terkesan dengan kisah ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan anda. Sama-sama kita doakan semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.