Baru sembuh daripada kecederaan lutut, pelakon Hairul Azreen sekali lagi menghadapi ujian berat apabila terpaksa berdepan dengan masalah bahu pula.
Setelah berjaya pulih dari kecederaan lutut yang memerlukan waktu rehat yang panjang, Hairul Azreen Idris, 35, kini terpaksa mengharungi lagi kesakitan apabila otot lengannya terkoyak. Kejadian ini berlaku selepas beliau mula kembali aktif bersenam dan melibatkan diri dalam aktiviti fizikal bersama anak-anaknya.
Menurut Hairul, kesakitan tersebut mula dirasai setiap kali beliau melakukan senaman, terutamanya ketika berlatih bersama anak-anak. Beliau terpaksa mendapatkan rawatan lanjut di hospital selepas kesakitan itu menjadi semakin teruk.
"Saya berehat lama selepas ligamen lutut saya putus. Apabila saya rasa dah kuat, saya mula bersenam dan bermain gim semula. Dalam masa yang sama, saya juga banyak melatih anak-anak.
"Kita memang mahu tunjukkan kepada mereka cara yang betul dalam bersenam. Namun, lama-kelamaan, tangan saya mula sakit. Selepas pemeriksaan, doktor mendapati otot saya mengecut dan tendon saya koyak," kongsi Hairul kepada kami.
Di Instagram, Hairul sebelum ini telah berkongsi tentang kecederaannya dan usaha beliau untuk pulih. Kecederaan ini sedikit sebanyak membataskan pergerakan dan aktiviti hariannya.
Untuk memulihkan keadaan, Hairul terpaksa menjalani rawatan Platelet Rich Plasma (PRP), di mana darah diambil dan dimasukkan semula pada bahagian otot yang koyak untuk mempercepatkan proses penyembuhan.
"Saya perlu banyak berehat sekarang. Bahkan, nak dukung anak pun saya tak mampu. Saya sedang menjalani rawatan PRP dan juga menjalani sesi rehabilitasi," jelasnya.
Jangan lupa untuk kongsi artikel ini dengan kawan-kawan anda dan doakan agar Hairul Azreen cepat sembuh dan kembali aktif seperti biasa!