Padah lakukan amang seksual… PU Azman dihukum 2 sebatan, penjara 24 tahun




PENDAKWAH bebas iaitu Pencetus Ummah (PU) Azman dijatuhi hukuman penjara selama 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang pada pagi Jumaat.


Hukuman itu dijatuhi selepas Azman didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dalam kejadian dua tahun lalu.



Keputusan itu dibuat oleh Hakim Noridah Adam selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan kes.


Bagi pertuduhan pertama, Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 43, dikenakan hukuman penjara selama 12 tahun dan satu sebatan.


Manakala pertuduhan kedua juga Azman dikenakan jumlah penjara sama beserta satu sebatan yang mana kesemua hukuman itu berjalan secara berasingan.



Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tertuduh selesai menjalani hukuman ditetapkan.


Sebelum ini iaitu pada Disember tahun lalu, Azman diperintah membela diri atas dua pertuduhan tersebut selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.


Mengikut pertuduhan, Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang pada 20 Februari 2022 serta 29 Jun tahun yang sama.




Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ Ayuni Jamri, Nurul Izzati Mohamad dan Zahida Zakaria, manakala Azman diwakili peguam bela Mohamad Zahid Ahmad.


Selain itu, Azman yang juga mesra disapa Cik Man turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan berkaitan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang yang masih dalam proses perbicaraan.

Previous Post Next Post

Contact Form