USAHAWAN Datuk Seri Vida tersentuh melihat nasib menimpa Abang Bas susulan dituduh melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak.
Vida atau Hasmiza Othman, 53, berkata, dia percaya pemuda berusia 24 tahun itu seorang yang baik dan ikhlas menyayangi kanak-kanak.
"Melihat perilaku dia, kesian dekat dia. Disebabkan hantaran sebegitu orang salah faham, sampai kena tahan dan dibicarakan.
"Sebagai seorang ibu, kuat hati saya mengatakan dia adalah seorang yang suka dan sayang budak-budak... nampak penyayang," katanya.
Vida berkongsi perkara itu menerusi hantaran video di laman TikTok miliknya.
Dalam pada itu, Vida turut menitiskan air mata melihat Abang Bas memeluk erat ibunya selepas dibebaskan daripada tahanan reman.
Jelasnya, dia turut terkesan dengan apa yang berlaku memandangkan dia juga mempunyai seorang anak lelaki.
"Saya terpanggil untuk buat video ini apabila saya tengok pelukan Abang Bas dengan ibu dia.
"Hati saya sebagai seorang ibu yang ada anak bujung. Kita tahu perangai orang yang menyayangi dan ikhlas melalui ciuman dia. Dia cium ibunya dua kali selepas berpelukan," jelasnya.
Pada 10 September lalu, lelaki yang merupakan pemamdu bas sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan anak saudaranya bagi maksud seksual.
Lelaki berkenaan turut didakwa memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual.
Manakala di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, tertuduh turut didakwa menggunakan TikTok dengan nama akaun 'Abang Bas' yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen 'hari ini crush buat homework' diikut tanda 'love' sambil memerhatinya.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.