Syasya Alami Perubahan Emosi Ketara, Mudah Rasa Sunyi Sejak Hamil
Penyanyi dan bekas ahli kumpulan Dolla, Syasya atau nama penuhnya Nursyasya Afiqah Shahrizal, 23, baru-baru ini berkongsi tentang perubahan emosi yang dialaminya sejak disahkan hamil. Dalam satu hantaran video di TikTok, Syasya menceritakan bagaimana kehamilan telah memberi kesan mendalam terhadap emosinya, terutama rasa sunyi walaupun dikelilingi oleh orang tersayang.
Menurut Syasya, walaupun suaminya, Nasrullah Mohd Sapie, serta keluarga sentiasa berada di sisinya, dia masih berasa keseorangan. "Sejak mengandung, saya mudah tersentuh. Perkara kecil pun boleh buat saya menangis," jelasnya.
Tambahnya lagi, “Satu perkara yang orang mungkin tak tahu, ketika mengandung senang rasa sunyi. Walaupun ada orang di sekeliling, tapi perasaan ini diri sendiri saja yang faham.”
Keadaan ini menyebabkan Syasya lebih gemar menghabiskan masa bersendirian. Malah, perkara seperti pergi buat rawatan kuku pun menjadi satu cabaran besar baginya. “Macam hari ini, saya nak buat rawatan kuku. Sejak hamil, nak buat benda macam ini pun macam berperang dengan diri sendiri. Saya buat keputusan pergi sendiri walaupun tak suka keluar berseorangan. Saya rasa macam tak dilindungi," kongsinya lagi.
Untuk rekod, pada 3 September lalu, Syasya mengumumkan kehamilannya selepas lima bulan mendirikan rumah tangga bersama Nasrullah.
Kehamilan memang membawa pelbagai perubahan emosi dan fizikal bagi seorang wanita. Bagi Syasya, perjalanan ini penuh cabaran, namun ia juga menjadi satu fasa baru dalam hidupnya.
Jangan lupa kongsi artikel ini dengan kawan-kawan yang juga mungkin sedang melalui perjalanan kehamilan atau yang ingin tahu lebih lanjut tentang perubahan emosi semasa hamil!