Uyaina Arshad belum terima sebarang ‘LOD’ isu Abang Bas, anggap peguam hanya gertak - “Apa saya suarakan hanya berdasarkan fakta”




PELAKON dan pengacara Uyaina Arshad masih belum menerima sebarang surat tuntutan atau letter of demand (LOD) daripada mana-mana peguam susulan dituduh lantang menyebarkan fitnah di media sosial isu membabitkan Abang Bas.


Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, berkata, tiada sebab untuk dia berasa takut kerana isu disuarakan mendapat perhatian umum.


Malah dia bukan satu-satunya selebriti yang menyebarkan kesedaran tentang bahaya amang seksual terhadap kanak-kanak malah ia turut mendapat perhatian ramai termasuk golongan profesional.


"Setakat ini saya tidak ada menerima sebarang surat tuntutan dan saya tidak pernah membuat provokasi sebab semua orang bersuara perkara sama dan ia bukti isu itu sangat berat.



"Masyarakat kita umumnya sudah cakna dan mula faham tentang isu ini apabila ramai yang bersuara.


"Bukan hanya selebriti malah peguam, doktor dan masyarakat lain turut bersuara," katanya kepada kami.


Uyaina berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran program Tiga Is3 yang diadakan di The Majapahit, Mont Kiara pada Jumaat.


Dalam pada itu, Uyaina menganggap amaran diberikan peguam mewakili Abang Bas hanya mahu menggertak dirinya daripada terus bersuara.



Kata Uyaian, dia tidak pernah menjatuhkan hukuman terhadap Abang Bas dan hanya mahu memberi kesedaran tentang bahaya jenayah amang seksual.


"Segala ugutan, gertakan saya okay sahaja. Saya tengok benda itu sebagai amaran dan cuba gertak sahaja," ujarnya.


Uyaina bagaimanapun tidak akan membuat sebarang permohonan maaf sekiranya diminta berbuat demikian selain bersedia berdepan dengan sebarang tindakan undang-undang.


Malah katanya, dia ada menerima mesej daripada peguam yang menawarkan khidmat guaman sekiranya ada pihak mahu mengambil tindakan terhadapnya.



"Saya sudah bersedia menegakkan kebenaran sebab apa yang saya suarakan hanya semata-mata berdasarkan fakta.


"Ramai peguam hubungi saya yang ingin membantu jika saya ada terima sebarang surat tuntutan.


Sebelum ini, Uyaina meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan seorang pemandu bas tersebut yang merakam video pelajar sekolah.


Jelasnya, perbuatan itu dikhuatiri boleh menyumbang kepada jenayah melibatkan kanak-kanak.




Pada 10 September lalu, lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan telah mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan anak saudaranya bagi maksud seksual.


Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.


Lelaki berkenaan turut didakwa memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara pukul 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama pada bulan ini.


Manakala di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, tertuduh turut didakwa menggunakan TikTok dengan nama akaun 'Abang Bas' yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen 'hari ini crush buat homework' diikut tanda 'love' sambil memerhatinya.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Aman 2, Taman Budiman, Parit Raja, Batu Pahat, jam 11 malam, 5 September lalu.


Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.

Previous Post Next Post

Contact Form