SELEPAS tular berita keluarga 'Abang Bas' mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu termasuk selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka terhadap kes berkenaan, akaun Instagram pengacara dan pelakon Uyaina Arshad diserang oleh netizen.
Meskipun dalam laporan itu, peguam mewakili Abang Bas iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar tidak memetik nama mana-mana pihak, namun netizen bertindak melulu dengan meninggalkan komen di Instagram Uyaina.
Tenang berdepan komen negatif, Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 32, berkata dia tidak bersedih dengan kecaman yang diterima kerana menganggap masih ramai yang memahami niatnya untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.
Malah, Uyaina memberitahu dia tetap berkongsi ilmu meskipun diancam tindakan undang-undang.
Dalam masa sama, dia meminta orang ramai menjadikan isu ini sebagai satu pengajaran.
"Memang kasihan dekat keluarga dia (abang bas). Tapi itulah benda pun dah jadi. Biarlah mahkamah yang menentukan dan apa yang berlaku ini jadikan pengajaran.
"Disebabkan itu kita perlu mendidik mereka (netizen) walaupun kena kecam siap nak saman. Tak sedih pun sebab ramai lagi netizen yang waras, bijak dan faham konteks
"Saya tidak akan berhenti berkongsi ilmu. Terima kasih untuk kata-kata yang baik dari anda," ujarnya.
Tidak hanya menerima komen negatif, Uyaina turut mendapat kata-kata semangat yang menyokong perjuangannya dalam menegakkan kebenaran.
Sebelum ini, Uyaina meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan seorang pemandu bas yang merakam video pelajar sekolah.
Jelasnya, perbuatan itu dikhuatiri boleh menyumbang kepada jenayah melibatkan kanak-kanak.
Pemandu bas lebih dikenali sebagai 'Abang Bas' itu didakwa di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan namun dibebaskan dengan bayaran jaminan sebanyak RM40,000 pada Selasa.
Susulan itu, keluarga abang bas dilaporkan berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka.