Siapa sangka, meskipun sudah memasuki usia 59 tahun, Aamir Khan tetap bersemangat untuk terus menyinar dalam dunia seni! Pelakon Bollywood terkenal ini mengumumkan bahawa beliau telah menerima enam tawaran berlakon serentak—sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam sepanjang kariernya.
Aamir kini bertekad untuk memanfaatkan setiap peluang yang datang, terutama sebelum beliau mencapai usia 70 tahun dan merancang untuk bersara dari dunia lakonan. Dengan sikap yang penuh dedikasi dan semangat, Aamir ingin memastikan dirinya lebih produktif dan memberikan sesuatu yang bermakna kepada industri seni.
"Saya tidak pernah mengambil enam tawaran kerja dalam masa yang sama. Kali ini saya ada alasan tersendiri. Mungkin ini adalah 10 tahun terakhir saya bekerja. Kita tak tahu apa yang akan berlaku, mungkin kita akan mati esok. Sebelum melangkah ke usia 70 tahun, saya harap saya dapat menjadi lebih produktif," kata Aamir dalam satu temubual baru-baru ini.
Sebelum ini, Aamir pernah mempertimbangkan untuk bersara awal sekitar tahun 2022. Namun, setelah dipujuk oleh ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat, beliau akhirnya kembali aktif berlakon. Kini, dengan usia yang semakin meningkat, Aamir berharap untuk menjadi platform yang mempamerkan bakat-bakat muda dalam industri seni, seperti penulis skrip dan pengarah.
"Usia saya semakin meningkat, jadi saya mahu membantu bakat-bakat dalam dunia seni. Saya ingin menjadi platform untuk karya mereka sebelum saya bersara pada usia 70 tahun. Itulah sebabnya saya terima banyak tawaran filem," tambahnya lagi.
Jelas sekali, Aamir Khan bukan sekadar memikirkan dirinya sendiri, tetapi juga berhasrat untuk memberi sokongan penuh kepada dunia kreatif. Dengan 6 tawaran berlakon serentak, beliau menunjukkan bahawa semangatnya untuk terus berjuang dalam industri hiburan takkan padam.
Apa Pendapat Anda Tentang Langkah Aamir Khan?
Sama-sama kita lihat bagaimana perjalanan karier Aamir Khan dalam dekad terakhir ini. Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini dengan kawan-kawan yang peminat filem Bollywood!